Kebiasaannya jika kita melanggan pakej mingguan atau bulanan data internet mudah alih, segala data kita akan mempunyai tarikh tamatnya. Dan apabila langganan baru masuk, baki data pada bulan lepas dianggap telah hapus, dan bermulalah data baru untuk anda gunakan pada bulan seterusnya. Kita tidak pernah memikirkan tentang perkara tersebut, kerana kita tidak diberi pilihan oleh pihak telko, namun tidak bagi pihak Celcom kepada penggunanya.

Seperti contoh anda melanggan pakej internet sebulan dengan data 4GB, bawa hingga ke tarikh tamat, anda hanya menggunakan data 3.8GB sahaja, bermakna ada baki 200MB lagi. Pihak Celcom kini memberi anda peluang untuk membawa baki data anda itu, ke pakej internet anda bulan hadapan. Bermakna jika masuk kepada tarikh baru, anda mempunyai data sebanyak 4.2GB secara keseluruhan. Dan itu pastinya akan menggembirakan hati semua pengguna. Kerana tiada lagi istilah wang yang anda bayar dibazirkan begitu sahaja.

Menurut pihak Celcom lagi, pakej tersebut adalah untuk pelanggan Xpax yang melanggan data mingguan dan bulanan dengan syarat, langganan internet pada bulan seterusnya haruslah dilakukan secara automatik. Namun begitu, pihak Celcom memberitahu bahawa baki data yang anda bawa itu haruslah tidak lebih dari jumlah data maksimum langganan anda. Seperti contohnya anda melanggan pakej bulanan 4GB, hanya data kurang dari 4GB sahaja yang boleh dibawa. Tiada jalan magik untuk anda mendapat 8GB pada bulan hadapannya hanya kerana pada bulan lepas anda langsung tidak menggunakannya.

Akhir sekali, pihak Celcom memberitahu bahawa pakej bawa baki data tersebut hanya terhad kepada pengguna prabayar pada ketika ini, tiada tarikh diumumkan oleh pihak Celcom akan bila langganan tersebut boleh diterima oleh pelanggan pascabayar.

Untuk sebarang maklumat lanjut, anda boleh pergi ke laman web rasmi Xpax untuk rujukan.