Elon Musk merupakan individu yang mempunyai pelbagai visi dan wawasan untuk menjadikan sesuatu teknologi yang belum pernah dilakukan oleh mana-mana syarikat menjadi realiti.

10 tahun yang lalu, Elon Musk telah membentangkan idea beliau kepada umum tentang rancangannya untuk menjadikan sebuah kereta elektrik yang sempurna menjadi realiti. Kini anda boleh melihat hasilnya dengan kehadiran model seperti Tesla Roadster, Model S sedan, Model X SUV dan Model 3 yang sudah mula dijual kepada umum.

Semalam dalam sebuah majlis, Elon Musk telah membentangkan empat pelan baru yang telah dicadangkan untuk menjadi pelan pembangunan syarikat beliau dalam dekad yang seterusnya.

Pelan pertama merupakan sebuah panel solar yang akan dipasang pada bumbung rumah pengguna, kemudian tenaga yang dikumpulkan akan dimasukkan ke dalam bateri, tanpa perlu pemilik kereta mengharapkan kepada penggunaan elektrik di rumah. Ini bagi memastikan penggunaannya lebih efisyen, lebih pantas, dan semudah mengawal penggunaannya dengan sebuah aplikasi sahaja.

Sehubungan dengan pelan itu juga, Elon Musk sedang dalam proses untuk membeli syarikat Solarcity, sebuah syarikat yang berpangkalan di California, Amerika Syarikat, yang dapat membantunya dalam menjadikan pelan pertama itu lebih mantap, serta dapat membantu kepada pengeluaran alat panel solar beliau.

Pelan kedua Elon Musk pula adalah mengenai pembangunan lebih banyak lagi model kenderaan elektrik beliau. Katanya beliau mempunyai rancangan untuk membangunkan kenderaan jenis SUV, sebuah trak pikap jenis baru, sebuah trak kargo yang berkuasa tinggi, serta sebuah pengangkutan awam. Semua itu, dijangka akan diperkenalkan pada sekitar akhir tahun nanti.

Manakala bagi pelan ketiga Elon Musk pula adalah, beliau ingin menjadikan kenderaan elektrik beliau lebih bergerak dengan sendirinya, dengan kemampuan untuk bergerak sendiri tanpa pemandu dari rumah dan terus ke tempat penumpang, yang mana akan memberikan lebih banyak masa terluang kepada penumpang tersebut.

Satu idea yang menarik dari Elon Musk adalah, oleh kerana kenderaan tersebut mampu untuk memandu dengan sendirinya, tatkala masa pemilik kenderaan tersebut tidak menggunakan kenderaan itu, mungkin ketika di rumah ke, atau mungkin sedang berkerja, kenderaan tersebut boleh dijadikan sebagai servis penyewaan kereta kepada umum. Dan apabila tiba sahaja masa anda perlu menggunakannya, anda turut sama menjana pendapatan anda sendiri. Idea yang sangat menarik bukan?

Segala pelan pembangunan ini pastinya memerlukan masa dari syarikat beliau untuk menjadikan ia sebuah realiti, dan dalam masa yang sama ia turut membantu dari mengurangkan kebergantungan kepada minyak fosil, seterusnya membantu menyelamatkan alam sekitar kita, dan sudah pastinya, segala teknologi baru ini akan mengubah cara kita menggunakan kenderaan milik kita selama-lamanya.

Sumber: Master Plan, Part Deux – Blog Rasmi Tesla