Pada acara Google I/O baru-baru ini, antara pengumuman yang paling mendapat perhatian ramai ialah Google Photos. Google Photos itu sendiri bukanlah tarikan tetapi ciri-ciri perkhidmatan yang ditawarkan oleh Google melalui Google Photos membuka mata, melirik syak wasangka, malah ada yang menyifatkannya sebagai “menakutkan”.

Melalui Google Photos, Google menawarkan;

  1. Ruang storan simpanan gambar tanpa had (gambar yang telah diproses)
  2. Fungsi imbasan gambar yang berguna (dan menakutkan)
  3. Fungsi mencantikkan kualiti gambar, penghasilan gambar kolaj, animasi, soundtrack dan movie secara automatik
  4. Fungsi pencarian gambar menggunakan kata kunci (cth: kucing, binatang, biru, Selangor etc)
  5. Aplikasi tersedia yang menyokong peranti Android dan iOS (iPhone & iPad)
  6. Akses ke Google Photos menggunakan browser (photos.google.com)

Sekali imbas, ia tawaran yang mustahil untuk ditolak

Sekiranya anda pernah kehilangan gambar kenangan disebabkan hard disk rosak dan telefon hilang seperti saya, pastinya Google Photos adalah penyelesaian terbaik untuk dijadikan tempat simpanan gambar & video kenangan anda.

Google Photos juga menyelesaikan masalah kekurangan ruang storan peranti pintar yang dialami oleh pemilik peranti yang hanya mempunyai ruang storan dalaman 16 GB ke bawah (seperti saya).

Gambar-gambar yang diambil menggunakan peranti pintar Android dan iOS boleh di sync terus ke Google Photos secara automatik. Ruang storan tanpa had yang ditawarkan bermakna kita tidak perlu risau lagi tentang berapa banyak ruang lagi yang masih ada sebelum perlu membayar yuran langganan kepada Google.

Sebagai perbandingan, perkhidmatan iCloud milik Apple hanya menawarkan ruang storan 5 GB sahaja secara percuma. Sekiranya kita ingin menggunakan lebih dari itu, kita perlu membayar secara langganan sebanyak $0.99 sebulan untuk ruang storan sehingga 20 GB dan seterusnya.

Microsoft OneDrive pula menawarkan ruang storan 15GB secara percuma dan yuran langganan $1.99 untuk storan sehingga 100 GB.

Pengalaman saya mencuba Google Photos

Selepas saya membaca pengumuman Google I/O tersebut, saya terus memuatturun aplikasi iOS ke telefon iPhone saya dan mencubanya.

Settings_-_Google_Photos

Storan tanpa had hanya untuk gambar yang telah diproses

Proses sync semua gambar dalam telefon saya ke Google Photos mengambil masa beberapa hari (saiz library gambar & video saya sekitar 3 GB).

Sepanjang proses sync tersebut, Google Photos melalui fungsi Assistant akan memproses dan memberikan notifikasi kepada saya jika ada set gambar yang boleh dikumpulankan ke dalam Story, kumpulan gambar yang digabungkan menjadi gambar kolaj, gambar animasi dan sebagainya. Saya boleh memilih samada untuk menyimpannya atau membuangnya.

Seperti yang diperkatakan, fungsi mencari gambar adalah sangat mengagumkan dan ada kalanya menakutkan. Taipkan apa sahaja kata kunci yang ingin dicari, Google Photos akan memaparkan keputusan yang tepat.

Screen Shot 2015-06-02 at 9.28.21 PM

Kata kunci : Kucing

Ya, Google Photos nampaknya memahami bahasa Melayu juga.

Apa jadi kalau pengguna memadam gambar dalam galeri telefon?

Melalui ujikasi ringkas yang saya jalankan, (secara default) apabila saya padam gambar dalam galeri telefon saya, gambar sama pada Google Photos kekal dan tidak terpadam. Ini bagus kepada pengguna yang ingin memadam gambar-gambar dalam telefon apabila telefon kehabisan ruang storan dalaman seperti yang selalu saya alami.

Selamatkah Kita Mempercayai Google?

Antara sebab saya menggunakan peranti iOS adalah kerana ingin lari dari penguasaan Google. Pada suatu ketika, saya merasakan Google cuba menjadi segala-galanya. Ia menguruskan semua perkara digital tentang saya. Adakah ianya selamat begitu?

Persoalannya, mengapa Google terlalu pemurah melalui Google Photos. Adakah ini cubaan Google untuk menjustifikasikan slogan mereka iaitu “Don’t be evil“?

Ini dunia bisnes bukannya khidmat masyarakat. Jangan percaya jika firma besar tiba-tiba melakukan kerja-kerja kebajikan, menubuhkan yayasan dan seumpamanya. Ia hanyalah helah biasa untuk lari dari membayar cukai sambil mengukir nama yang gah sebagai firma yang tidak mengejar keuntungan semata-mata, kononnya.

Jadi, apa yang Google dapat dengan menawarkan perkhidmatan ruang storan gambar tanpa had? Ia pelaburan yang besar. Bayangkan betapa besar pusat data yang perlu dibangunkan untuk menampung data gambar & video dari pengguna Android dan iOS seluruh dunia yang bersetuju untuk mempercayai Google dengan gambar peribadi mereka.

Ada yang mengatakan data-data tadi akan dikongsikan dengan NSA (National Security Agency – USA) untuk membantu NSA melakukan kerja-kerja intipan bakal-bakal pengganas masa depan. Ada pula yang mengatakan data-data gambar tadi akan dianalisis supaya google boleh pamerkan iklan yang sesuai kepada anda yang menggunakan Google Photos.

Sejujurnya, saya tidak berminat untuk berbincang tentang spekulasi dalam posting ini.

T.R.U.S.T

Pada hemat saya, Google cuba membina TRUST atau kepercayaan pengguna. Kita semua tahu gelombang teknologi selepas ini ialah teknologi wearable (boleh pakai) dan diikuti oleh Internet Of Things (IOT). Dari sehari ke sehari, teknologi lebih bersifat peribadi. Sedikit demi sedikit teknologi masuk ke dalam kehidupan manusia menguruskan semua perkara yang selama ini perlu dilakukan secara manual.

Tanpa kepercayaan yang teguh terhadap sesuatu syarikat, proses memeluk (embrace) teknologi tidak akan berlaku dengan lancar. Google melihat ini sebagai cabaran bisnes masa hadapan dan Google Photos adalah umpan untuk membina kepercayaan tidak berbelah bagi pengguna terhadap perkhidmatan mereka. Genius.

Perlu atau tidak saya menggunakan Google Photos?

Itu persoalan besar yang harus dijawab dalam posting ini. Pada saya ia terpulang kepada anda. Adakah keselamatan gambar peribadi lebih penting dari gambar peribadi itu sendiri? Jika ya, maka Google Photos mungkin bukan untuk anda. Kita sendiri sudah melihat kesannya apabila iCloud digodam dan gambar peribadi selebriti terkenal Hollywood tersebar di Internet dalam keadaan menjengkelkan.

Bagi saya pula, gambar peribadi saya hanya bernilai untuk saya sendiri dan ahli keluarga sahaja. Jikapun ia tersebar, tidak ada nilai berita pun padanya. Jikapun gambar saya jatuh ke tangan NSA misalnya, rasanya saya tidak bercadang untuk menjadi pengganas dalam masa terdekat. Jadi saya memilih untuk menggunakan Google Photos. Itu pilihan saya.

Anda bagaimana?

Google-Picasa-icon-logo