Pada majlis pelancaran awal pagi tadi juga, GoPro ada memperkenalkan produk pertama syarikat mereka dalam kategori baru, iaitu sebuah model dron yang diberikan nama Karma. Model Karma tersebut akan dijual pada harga $799 untuk dron tersebut sahaja, manakala jika disertakan dengan kamera Hero 5 Black akan dijual pada harga $1,099, dan jika dengan kamera Hero 5 Session pula akan dijual pada harga $999. Model dron Karma tersebut akan mula dijual pada tarikh 24 Oktober bulan hadapan.

Perkara pertama yang menarik perhatian kami tentang model Karma tersebut adalah ianya mudah untuk digunakan, boleh dilipat untuk memudahkan simpanan, dan disertakan juga dengan beg sandang ntuk dibawa kemana sahaja. Turut disertakan juga adalah sebuah alat kawalan jauh, dimana separuh dari bentuk alat kawalan tersebut adalah skrin sesentuh, dan separuhnya lagi adalah dua butang untuk kawalan quadcopter, serta kamera yang bersambung padanya.

Dron Karma tersebut boleh disambungkan dengan kamera Hero 5 Black, dan Hero 5 Session yang terbaru, serta model kamera yang sebelumnya juga iaitu Hero 4. Pada tapak kamera di dron tersebut telah diletakkan gimbal 3 paksi untuk menstabilkan kamera, bagi mendapatkan rakaman yang sempurna, dan juga boleh ditanggalkan untuk penggunaan tangan.

Kedudukan kamera di dron tersebut telah diletakkan pada bahagian hadapan, kerana menurut pihak GoPro adalah bagi mengelakkan imej bilah kipas muncul dalam rakaman. Seperti model-model dron yang lain juga, pada butang kawalan jauh telah disertakan butang untuk terbang, mendarat, dan pulang ke tempat asal. GoPro juga ada menyediakan aplikasi pembantu yang membolehkan orang lain untuk melihat rakaman video dari dron dalam masa nyata, dan juga mengawal posisi kamera pada dron tersebut.

Tidak dapat dipastikan pula bagaimana dron Karma dari GoPro tersebut berfungsi untuk menjejak pengguna mereka, kerana sesetengah syarikat ada menyediakan sebuah alat GPS khas untuk mengetahui posisi tepat pengguna, dan sesetengahnya pula hanya mengikuti GPS dari peranti pintar yang dihubungkan dengan dron.