GoPro awal pagi tadi telah mengumumkan produk mereka terbaru, Hero 5 Black. Produk utama mereka sejak model Hero 4 dilancarkan pada tahun 2014 yang lepas. Pada masa sama juga, GoPro telah mengumumkan model Hero 5 Session, kemaskini kepada model Session mereka sebelum ini, pada pertengahan tahun ini. Kedua-dua model ini menyokong kepada penggunaan model quadcopter mereka yang pertama, dan akan mula dijual pada tarikh 3 Oktober 2016 bulan hadapan.

Model Hero 5 Black akan dijual pada harga $399, manakala model Hero 5 Session akan dijual pada harga $299. Kedua-dua model kamera baru tersebut akan menyokong rakaman video 4K, 30 kerangka sesaat dalam tetapan maksimum, kalis air sehingga pada kedalaman 33 kaki tanpa menggunakan cangkerang. Model baru itu juga mempunyai kawalan melalui suara, dengan sokongan sehingga 7 jenis bahasa. GoPro juga dalam masa sama memperkenalkan langganan storan storan cloud yang dinamakan GoPro Plus kepada pengguna.

Model Hero 5 Black mempunyai keupayaan kamera dengan 12 megapiksel, GPS yang telah terbina, menghasilkan foto dalam bentuk RAW, dan keupayaan merakam video dalam bentuk Wide Dynamic Range. Manakala untuk model Hero 5 Session pula, mempunyai keupayaan kamera dengan 10 megapiksel, namun tiada paparan skrin yang terdapat di belakangnya. Ia juga tidak mempunyai GPS yang terbina, dan fungsi mengambil foto dalam bentuk RAW dan merakam video dalam bentuk Wide Dynamic Range.

GoPro juga menjanjikan bahawa kamera terbaru mereka sudah terbina sistem menu yang lebih mudah, dengan hanya menggunakan satu butang sahaja untuk kawalan. Bagi model Hero 5 Black, ia mempunyai sebuah butang khas untuk fungsi mengambil foto, dan juga merekod video. Kedua-dua model kamera tersebut mempunyai binaan mikrofon dalam kualiti stereo, dan mempunyai sistem kawalan penstabil video dan foto, yang tidak terdapat pada model kamera yang sebelumnya.

Mengenai servis storan dalam cloud GoPro Plus pula, pengguna harus membayar $4.99 untuk langganan bulanan, dan pengguna perlu menggunakan aplikasi khas melalui komputer untuk memuat naik semua foto dan video ke dalam storan cloud khas GoPro. Seterusnya, semua fail media tersebut boleh diakses dimana sahaja menggunakan aplikasi khas suntingan mereka, seperti aplikasi Quik, Splice, aplikasi terbaru Capture, dan perisian GoPro untuk komputer.

Kontranya mengenai servis storan GoPro Plus adalah, setiap fail media yang sudah dimuat naik ke storan cloud hanya boleh disunting melalui aplikasi dan perisian mereka yang berasingan, dan tidak boleh melakukan suntingan terus melalui kamera GoPro tersebut contohnya. Servis GoPro Plus juga ada menyediakan banyak koleksi audio muzik tanpa royalti untuk digunakan pada suntingan video, 20 peratus diskaun khas kepada sebarang pembelian aksesori kamera, dan akan dibuka kepada orang ramai bermula tarikh 29 September 2016 nanti.