activite-pop-wearable

Sudah seminggu saya menggunakan Withings Activite Pop. Berikut merupakan reviu dan catatan pengalaman pertama saya menggunakan jam tangan ini.

Jam Pintar atau Jam Pengesan Aktiviti?

Sebelum perdebatan samada jam ini jam pintar atau hanya jam pengesan aktiviti, pada saya ia merupakan jam biasa yang mempunyai ciri-ciri pengesanan aktiviti yang pastinya lebih pintar dari jam-jam biasa.

Ini bukan jam pintar pada level Apple Watch, Motorola 360 yang pastinya mempunyai ciri yang lebih luas (yang mengorbankan jangka hayat bateri). Malah jam ini langsung tidak ada sambungan ke internet dan tidak bersambung ke telefon pintar secara realtime.

Spesifikasi Ringkas Withings Activite Pop

Bluetooth 4.0
Sokongan iPhone & Android (Maaf pengguna Windows Phone)
8 bulan ketahanan bateri (CR2025 button cell)
36.3mm lebar (sesuai untuk lelaki & wanita)
100 kaki ketahanan tekanan air
Auto-detect aktiviti berlari & berenang
Harga Jualan: USD 150

Ciri-ciri yang menyebabkan saya mencuba Withings Activite Pop

Kebanyakkan jam pintar diluar sana hanya menawarkan ketahanan bateri sehari hingga seminggu dua sahaja. Ia langsung tidak menepati citarasa saya.

Bateri jam pintar Withings Activite Pop ini dijanjikan mampu bertahan sekurang-kurangnya 8 bulan. Paling menarik, ia menggunakan bateri jam biasa yang memudahkan pengguna menggantikannya apabila tempoh hayat baterinya berakhir.

Rekabentuk & Kualiti Pembuatan

IMG_2986

Withings Activite tampil dalam 2 versi. Versi asal iaitu Withings Activite (Original) merupakan versi premium dengan kualiti pembuatan jam Swiss Made. Ianya dilengkapi dengan kaca sapphire crystal, bertali kulit original dan dijual pada harga premium USD 450.

Withings Activite Pop yang saya riviu di sini merupakan versi kurang premium. Ia menggunakan kaca mineral (yang diperkuat coating PVD anti-calar), dan tali tahan lasak yang diperbuat dari silikon. Versi Pop ini juga datang dengan 3 pilihan warna iaitu silver, biru & hitam.

Memakai jam pintar dengan niat untuk mengukur semua aktiviti fizikal bermakna anda memakai jam ini setiap masa walaupun ketika tidur. Anda memerlukan jam yang benar-benar sempurna dari segi design yang ergonomik dan tidak menganggu.

Withings Activite Pop tidak mempunyai punat kawalan sebagaimana jam tangan lain dan ia sangat ringan. Sekiranya anda bercadang membeli jam pintar, jangan lupa untuk memikirkan ciri-ciri ini dalam membuat keputusan.

Pengalaman Penggunaan

Jam Withings Activite Pop ini perlu dihubungkan ke telefon pintar untuk ia berfungsi. Pengguna perlu setup jarum jam, minit & jarum aktiviti kemudian barulah jam tersebut aktif dan boleh digunakan.

Walaubagaimanapun jam ini tidak sync data secara realtime dari jam kepada telefon pintar. Sambungan data hanya dilakukan apabila pengguna ingin pindahkan data yang dikumpul  oleh jam dan ia harus dilakukan setiap hari kerana jam ini hanya boleh menyimpan data selama 30 jam sehaja.

Sepanjang pengalaman saya, proses muatturun data dari jam hanya mengambil masa sekitar 1-2 minit sahaja.

Aplikasi Telefon Pintar

Syarikat Withings menyediakan aplikasi khas untuk mengumpul data aktiviti yang dikumpul oleh jam Withings Activite Pop ini. Aktifkan bluetooth, dekatkan jam kepada telefon pintar dan data aktiviti dari jam akan dimuatturun secara automatik ke telefon pintar.

IMG_3099 IMG_3100IMG_3101

 

Aplikasi ini juga menawarkan beberapa fungsi lain seperti merekodkan berat badan, mengukur kadar dengupan jantung dan rekod tekanan darah.

Setakat ini saya masih belum mencuba aktiviti berenang dan berlari, maka tiada data kedua-dua aktiviti ini untuk dikongsikan.

Kesimpulan

IMG_2993

 

Sekiranya anda mencari jam yang lebih pintar dari jam biasa, mempunyai sensor pengesanan aktiviti asas, tidak terlalu mahal, tidak mahu charge bateri setiap malam atau setiap minggu, ini adalah antara jam terbaik yang boleh dipertimbangkan.