Samsung nampaknya tidak berapa gembira dengan ujian tekanan yang dilakukan oleh SquareTrade terhadap peranti utama mereka iaitu Galaxy S6 dan Galaxy S6 Edge. Menurut mereka, ujian yang dilakukan tidak masuk akal, dan mereka ada penjelasan penuh untuk menerangkan apakah yang sebenarnya orang ramai patut tahu. Jelas sekali mereka tidak ingin samakan produk mereka dengan musuh utama mereka iaitu Apple.

Kegilaan untuk membuat ujian bengkok ini bermula pada tahun lepas, apabila iPhone 6 Plus dikatakan mudah mengalami masalah tersebut apabila diletakkan pada ruang poket anda sahaja. Sejak kontroversi itu timbul, syarikat pembangun telefon pintar telah melakukan pelbagai ujian terhadap produk mereka, agar perkara yang sama berlaku pada Apple tidak berulang kepada mereka.

Dalam ujian yang dilakukan oleh SquareTrade, mereka menggunakan mesin khas untuk melakukan kerja tersebut. Tetapi bagi pihak syarikat Samsung, ujian tersebut adalah luar dari norma kemampuan manusia untuk membengkokkan telefon pintar. Dan mengikutkan pada penjelasan mereka, kebiasaan tekanan oleh manusia jika diletakkan pada poket belakang adalah 66lbf (30kgf) sahaja, tetapi didalam video itu, tekanan yang dilakukan adalah sehingga 110lbf (50kgf).

Pihak Samsung juga turut memberitahu bahawa mereka ada menjalankan ujian dalaman mereka sendiri, namun sehingga kepada tekanan 79lbf (32kgf) sahaja, iaitu bersamaan dengan mematahkan lima batang pensel dalam sekali tekanan.

Kata mereka lagi, SquareTrade hanya melakukan ujian tekanan pada bahagian hadapan peranti sahaja, dan tidak melalui tekanan dari bahagian belakang telefon. Kerana bagi Samsung, kerangka hadapan dan belakang produk telefon pintar mereka sangat berbeza, dan mereka mencabar SquareTrade untuk melakukan ujian sekali lagi, kali ini dari sudut bahagian belakang peranti utama mereka itu.

Sementara menunggu SquareTrade menyiapkan video ujian mereka, Samsung sendiri telah mengeluarkan video untuk menunjukkan hasil ujian tekanan yang mereka lakukan sendiri.