Galaxy Tab A

Samsung hari ini telah mengumumkan dua model peranti tablet bagi siri Galaxy Tab A dengan memperkenalkan model saiz 8 inci dan 9.7 inci kepada umum.

Tablet baru ini telah disertakan dengan pelbagai fungsi kepada pengguna, seperti mod Kids bagi menapis kandungan untuk kanak-kanak sahaja, mod Multi-User untuk mengubah tetapan bagi setiap pengguna tablet, dan fungsi Adaptive Display, yang mengubah paparan skrin anda kepada tetapan yang sesuai bagi mata anda memandang.

Samsung juga telah sertakan aplikasi Microsoft Office untuk Android, yang mempunyai aplikasi Word, Excel, PowerPoint dan OneDrive didalamnya, dimana pengguna tablet ini akan menerima storan cloud sebanyak 100GB untuk dua tahun percuma.

Peranti siri Galaxy Tab A yang baru ini akan mempunyai resolusi skrin 1,024 x 768 piksel bagi kedua-dua model, juga menjalankan cip pemproses 1.2GHz quad-core, serta kamera pandangan belakang 5 megapiksel, dan kamera pandangan hadapan 2 megapiksel. Terdapat dua pilihan storan untuk model ini, iaitu model 16GB dan 32GB, dengan RAM 1.5GB, serta slot kad mikro SD yang anda boleh tambahkan sehingga 128GB.

Untuk model 8 inci, bateri yang disertakan adalah 4,200 mAh, manakala bagi model 9.7 inci, bateri yang disertakan adalah 6,000 mAh. Kedua-dua model peranti ini akan menjalankan sistem operasi Android versi 5.0 Lollipop.

Menurut laporan daripada sumber, Samsung mungkin melancarkan model ini bemula 1 Mei 2015. Namun tidak pasti pula bilakah model ini akan tiba di negara Malaysia. Bagi model 8 inci, Samsung meletakkan peranti tersebut pada harga sekitar RM836, dan model 9.7 inci pula adalah pada sekitar RM1.090.